BARCELONA – Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez menyatakan kepuasan selepas pasukan itu membelasah Osasuna 4-0 dalam aksi La Liga yang berlangsung di Stadium Camp Nou awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, The Catalans dilihat semakin hampir ke prestasi lama apabila menguasai sepenuhnya permainan dan memperoleh gol menerusi dua jaringan Ferran Torres serta masing-masing satu gol Pierre-Emerick Aubameyang dan Riqui Puig.
Meskipun menampilkan aksi yang semakin baik, namun beliau tidak meletakkan sasaran tinggi untuk mengejar kedudukan Real Madrid bagi mencabar takhta kejuaraan musim ini.
“Saingan liga bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun kami catat kemenangan di Santiago Bernabeu sekali pun, ia bukanlah jaminan untuk memenangi liga kerana ada pasukan lain yang boleh lakar kejutan.
“Kami perlu mengharapkan Real tercicir mata dalam tiga atau empat perlawanan, namun itu bukanlah perkara mudah. Kami tidak boleh terlalu optimis dengan peluang memenangi liga,” katanya.
Mengulas aksi ditampilkan barisan pemainnya pada perlawanan itu, Xavi memuji peranan jentera serangan yang dibarisi Aubameyang, Torres dan Ousmane Dembele sepanjang permainan berlangsung.
“Apa yang pasti, tiga pemain serangan bermain sangat baik terutamanya Ferran (Torres), Dembele dan Aubameyang. Selain itu, saya fikir Aubameyang adalah hadiah yang tidak ternilai untuk kami,” ujar legenda Barcelona itu. – AGENSI