GEORGE TOWN – Suami yang bercadang untuk berkahwin lebih daripada satu perlu memastikan dirinya berupaya berlaku adil dan mampu menggalas tanggungjawab supaya kebajikan isteri dan anak-anaknya tidak terabai.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, suami perlu berfikir panjang sebelum meneruskan hasratnya itu dengan melihat kepada kemampuan kewangan dan kudratnya.
Katanya, Islam membenarkan suami berkahwin sehingga empat tetapi dengan syarat perlu berlaku adil.
“Hendak kahwin memang senang, namun melaksanakan tanggungjawab kadang-kadang tidak mampu. Siapa yang berkahwin hanya dengan tujuan bersuka-suka atau semata-mata nafsu, maka niatnya sudah terpesong.
“Tunaikan hak zahir dan batin kesemua isterinya temasuk nafkah seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal selesa,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Wan Salim, rumah tangga akan diliputi suasana tenteram, cinta dan rahmah sekiranya suami melaksanakan tanggungjawab.
Tambahnya, kegagalan suami memenuhi syarat-syarat itu akan menggoncang sendi-sendi rumah tangga seterusnya membawa kepada keruntuhan.
“Ketika ini jumlah perceraian semakin bertambah terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak Covid-19,” katanya.
Ujar Wan Salim, lebih membimbangkan jika si lelaki terjerat dengan sindiket nikah Siam yang akan mendatangkan masalah pada masa depan.