PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan hujan lebat serta ribut petir dijangka berlaku di beberapa negeri pada malam ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman Facebook berkata, amaran ribut petir telah dikeluarkan melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Sarawak.
“Hujan lebat serta ribut petir dilihat tertumpu di sekitar Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Kuala Muda di Kedah.
“Di Selangor, kawasan yang dijangka mengalami situasi yang sama adalah Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, MetMalaysia turut meramalkan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di seluruh kawasan negeri Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Manakala bagi Negeri Sembilan, hujan serta ribut petir hanya dijangka akan berlaku di sekitar kawasan Jelebu dan Seremban manakala di Sarawak melibatkan bahagian Bintulu (Bintulu dan Sebauh), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE