KIEV – Bekalan tenaga elektrik yang terputus di loji nuklear Chernobyl selepas ditawan tentera Rusia telah berjaya dipulihkan, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Menurut pegawai, keadaan itu sekali gus menjadikan sistem penyejukan di bekas tapak jana kuasa nuklear itu kini dapat beroperasi seperti biasa dan tidak perlu lagi menggunakan kuasa tambahan.
Syarikat pengendali nuklear Ukraine, Energoatom sebelum ini memberi amaran bahawa bahan radioaktif berisiko dilepaskan sekiranya talian kuasa voltan tinggi ke loji tersebut tidak dibaiki selepas rosak dalam pertempuran antara Ukraine dan Rusia.
“Hari ini, atas kerja keras pakar-pakar tenaga Ukraine, jurutera nuklear dan juruelektrik kami dapat memulihkan kembali bekalan tenaga ke loji nuklear Chernobyl.
“Jurutera tenaga kita telah merisikokan nyawa dan kesihatan mereka bagi mengelakkan risiko bencana nuklear yang mengancam seluruh Eropah,” kata Menteri Tenaga, German Galushchenkon dalam satu kenyataan.
Pada 24 Februari lalu, tentera Rusia merampas loji nuklear Chernobyl sejurus selepas menyerang Ukraine.
Bekalan kuasa ke loji tersebut kemudiannya terputus, sekali gus memaksa ia menggunakan penjana kecemasan yang dikuasakan oleh minyak diesel.
Kakitangan yang berada di loji Chernobyl juga dikatakan dipaksa bekerja di bawah kawalan tentera Rusia sejak mereka mengambil alih tapak tersebut.
Badan pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memberi amaran awal minggu ini bahawa keadaan kakitangan di situ adalah semakin buruk. – AGENSI