GEORGE TOWN – Jika sebelum ini, dirinya pernah bertugas sebagai pramugari selama lebih tiga tahun, Hana Batrisya Zainol, 24, yang kini beralih arah kepada perniagaan nasi lemak mengimpikan jenama Nasi Lemak Wak Zee dapat dinikmati di awan biru.
Biarpun masih baharu, perusahaan bersama suaminya, Muhammad Nur Azizee Roslan, 25, berjaya menarik perhatian penggemar makanan popular itu sejak Februari tahun lalu.
Hana memberitahu, dia dan suami mengusahakan perniagaan itu selepas syarikat penerbangan tempat mereka mencari rezeki melaksanakan pemberhentian pekerja pada 2020.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, resipi nasi lemak itu hasil olahan resipi ibu dan ibu mentuanya.
“Selepas menjalankan pelbagai percubaan saya akhirnya dapat menghasilkan nasi lemak dan sambal yang saya yakin dapat menepati cita rasa pengguna daripada pelbagai bangsa,” katanya di sini semalam.
Hana yang turut mahir berkomunikasi dalam bahasa Mandarin dan Hokkien mengakui, dalam tempoh tiga bulan pertama, lebih 60 bungkus nasi disedekahkan setiap hari kerana tidak habis dijual.
“Namun kini, kami bersyukur kerana pelanggan mula meminati juadah kami dan kalau hujung minggu kira-kira 50 kilogram nasi lemak dapat dijual,” ujarnya.
Hana berkata, ada kalanya dia rindukan untuk kembali bertugas di awan biru, namun dia mahu memberi tumpuan pada perniagaan terlebih dahulu.
“Jika saya tidak dapat kembali bertugas selepas ini, memadai jika jenama Nasi Lemak Wak Zee yang dapat menemui pelanggan di awan biru.
“Kami sedia baiki mutu dan kualiti asalkan jenama ini boleh dijual di awan biru,” ujarnya.