fbpx

Pengutip besi buruk jaga isteri buta, anak OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NATHENDREX memegang anaknya Thiru yang merupakan OKU bersama isterinya Mageswary. Mereka kini tinggal menumpang di rumah Noraini (kiri) di Kampung Sri Parit, Port Dickson. – NOR SHAFAWATI YUP

PORT DICKSON – Seorang lelaki tetap tabah menjaga dan mengu­ruskan isterinya yang buta dan seorang anak orang kelainan upaya (OKU) walaupun hanya bergantung rezeki kepada pendapatan hasil jualan besi buruk.

A. Nathendrex, 48, berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pekerja am syarikat pembersihan, namun diberhentikan kerja memandangkan keadaan kesihatannya merosot selepas me­ngalami masalah dalam perut.

“Sekarang saya tidak boleh buat kerja berat, bila angkat tong sampah atau barang-barang berat akan rasa sakit sangat.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana dapat juga mencari rezeki biarpun dengan mengutip besi buruk. Lagipun, masa untuk menjaga anak dan isteri lebih banyak,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Parit di sini kelmarin.

Nathendrex yang berasal dari Pontian, Johor berkata, isterinya M. Mageswary, 40, me­ngalami masalah penglihatan sehingga buta sejak lima tahun lalu, manakala anak tunggal mereka, N. Thiru tidak boleh berjalan se­perti orang normal yang lain.

“Thiru tidak boleh berdiri dan berjalan dengan baik sejak lahir, manakala isteri pula tidak diketahui punca masalah penglihatannya selain ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok,” katanya.

Menurut Nathendrex, dengan menjual besi buruk, dia mampu memperoleh pendapatan sekitar RM30 sehari.

Berkongsi kisah kehidupannya, Nathendrex berkata, kehidupannya sangat susah sebelum ini sehingga mereka sekeluarga pernah tinggal di sebuah rumah kosong untuk meneruskan hidup.

Namun, keperitan keluarga itu mendapat simpati seorang wanita, Noraini Zainal Abidin, 63, yang sudi membantu dan membawa mereka tinggal bersama di rumahnya sejak empat tahun lalu.

Noraini berkata, dia sedih melihatkan keadaan Mageswary yang buta serta anak OKU mereka walaupun dia sendiri mene­rima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 sebulan.

““Mak cik dah anggap mereka seperti keluarga dan peneman, jika mereka ada di rumah ini tidaklah rasa takut sangat tinggal seorang,” katanya.

Dalam pada itu, mereka yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Noraini di talian 011-3983 5811.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI