fbpx

Rusia didakwa minta bantuan ketenteraan dan ekonomi dari China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTIN (kiri) dan Presiden China, Xi Jinping (kanan) bergambar ketika mengadakan mesyuarat di Beijing pada 4 Februari 2022. – AFP

WASHINGTON – Pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) mendakwa bahawa Rusia telah meminta bantuan ketenteraan dan ekonomi dari China berkaitan serangannya ke atas Ukraine, lapor stesen penyiaran Fox News kelmarin.

Bagaimanapun, bagi melindungi sumber-sumber risikan, jenis bantuan yang diminta tidak dapat diperincikan.

Dakwaan mengenai permintaan bantuan ketenteraan itu mula dilaporkan oleh akhbar The New York Times, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai AS terhadap risiko campur tangan Beijing dalam peperangan tersebut.

“Kami sedang berhubung secara terus dan sulit dengan Beijing serta menyatakan bahawa pasti akan ada akibatnya sekiranya mereka membantu Moscow mengelak daripada sekatan.

“Kami tidak akan membenarkan China memberikan Rusia ‘talian hayat’ kepada sekatan ekonomi dari mana-mana negara di dunia,” kata Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan.

Para pemimpin China sebelum ini enggan menyelar serangan Rusia ke atas Ukraine selain turut menentang sekatan ekonomi yang dikenakan blok Barat terhadap Moscow.

Dalam pada itu, ketika disoal oleh stesen penyiaran CNN mengenai kesahihan berita tersebut, jurucakap Kedutaan China di AS, Liu Pengyu berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.

“Saya tidak pernah mendengar mengenainya,” katanya.

Pengyu sebaliknya menyatakan kebimbangan mengenai situasi di Ukraine dengan menyifatkannya sebagai ‘amat membingungkan’ selain berkata bahawa China akan terus menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Kiev.

“Keutamaan sekarang adalah untuk mengelakkan situasi di Ukraine daripada menjadi semakin buruk atau di luar kawalan,” ujarnya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI