PETALING JAYA – “Kepit anak celah kaki, ikat tangan, tahan mulut dan campurkan ubat dalam makanan.”
Demikian antara komen yang diberikan oleh orang ramai apabila pelbagai cara terpaksa dilakukan oleh mereka hanya untuk memastikan anak berjaya disuapkan ubat.
Situasi ini turut dihadapi seorang wanita yang dikenali sebagai Cik Piya berkongsi tindakannya mengepit kemas tubuh anak lelakinya menggunakan kaki ketika ingin memberi minum ubat.
Difahamkan, anak lelakinya telah dijangkiti virus Covid-19 selang beberapa hari dirinya disahkankan positif.
Namun, menjadi kesukaran kepada wanita tersebut disebabkan anaknya itu sangat liat dan sukar jika diminta untuk makan ubat meskipun ia hanya dalam bentuk cecair.
“Mula-mula mama (Cik Piya) positif, selang tiga hari adik pula positif, tapi budak kecik susah sangat nak makan ubat terpaksa buat macam itu untuk bagi makan ubat.
“Doakan kami cepat sembuh,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut mengakui pernah bertindak sama seperti yang dilakukan Cik Piya semata-mata untuk memastikan anak diberikan minum ubat demi kebaikan dan kesihatan mereka.
“Anak saya pun jenis susah nak makan ubat, setiap kali tak sihat, dan nak beri makan ubat, memang saya dan suami buat macam ini, kepit badan celah kaki atau ikat tangan anak, kalau tak buat macam itu, sampai sudah anak tak akan makan ubat,” kongsi seorang pengguna.
“Hanya kaum ibu je tahu cara nak bagi anak makan ubat, memang kesian bila anak nangis kena paksa makan ubat, tapi lagi kesian lihat anak tanggung sakit dan saya sendiri selalu tahan mulut anak biar terbuka untuk masukkan ubat, kalau tidak dikeluarkan balik” ujar pengguna yang lain.
“Biar orang nampak macam kasar dengan anak, selagi tidak memudaratkan mereka, lakukanlah apa sahaja, untuk pastikan anak sihat, kalau terlalu manja, memang lambat la nak baik dari sakit atau demam,” kata Mas Idayu. – KOSMO! ONLINE