JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini sebentar tadi.
Presiden UMNO itu dijangka menghadap Sultan Ibrahim dipercayai berhubung pelantikan Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Difahamkan, ia selepas BN berjaya mendapat mandat bagi membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Terdahulu, Presiden UMNO itu tiba Bangunan UMNO di Jalan Yahya Awal di sini pada pukul 2.30 petang bagi mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Hasni.
Setelah selesai pertemuan ringkas selama 20 minit itu, Ahmad Zahid bergerak meninggalkan Bangunan UMNO pada pukul 2.50 petang ini.
Sumber memberitahu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi tadi selepas menerima titah Sultan Ibrahim.-KOSMO! ONLINE