PETALING JAYA – Selepas empat tahun bertungkus-lumus, pelakon terkenal, Vanidah Imran akhirnya berjaya menamatkan pengajian Sarjana Seni Persembahan (Drama) di Universiti Malaya.
Ibu tunggal kepada dua cahaya itu merupakan salah seorang penerima ijazah daripada lebih 7,682 pelajar yang menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen ke-61, Universiti Malaya pada Sabtu lalu.
Menurut ibu kepada Mikail Aimran dan Maryam Rashika itu, perjalanan empat tahun untuk menggengam segulung ijazah bukan satu perkara yang mudah.
Apatah lagi, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 itu terpaksa membahagikan
masa antara karier, keluarga dan pelajaran.
“Pergelutan memang bukan calang-calang. Tidak mudah langsung, tetapi saya bersyukur kerana dirahmati dan mendapat sokongan rakan-rakan yang sama-sama buat sarjana, keluarga serta anak-anak,” katanya.
Vanidah, 48, yang terlebih dahulu bergelar graduan ijazah sarjana muda Pengajian Bahasa Inggeris pada tahun 2015 di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), turut menjelaskan bukan mudah untuk menyambung pelajaran pada usia sepertinya.
“Apabila belajar pada usia melewati angka empat siri dengan tuntutan tanggungjawab serta komitmen sebagai ibu dan anak, ia bukanlah fasa mudah.
“Berbanding masa muda, kita kurang bebanan. Namun, saya terima segala-galanya dengan lapang dada. Menyambung pengajian ketika ada anak kecil dan keluarga itu menjadikan saya lebih kuat.
“Banyak mana tekanan, tanggungjawab mahupun suntikan motivasi atau nasihat daripada orang lain, pada akhirnya kita yang mengharungi perkara tersebut. Mahu buat terbaik atau sebaliknya terserah kepada diri sendiri,” ujarnya.
Tambah Vanidah, bapanya Imran Abdullah @ Indiran Koothayan antara individu
sebalik kejayaanya pada hari ini. Bapanya yang sentiasa mementingkan akademik sebenarnya
tidak bersetuju jalan seni yang menjadi pilihannya.
Bagi bapanya, kerjaya seni dilihat tidak mampu menjamin masa depan dan berharap suatu hari nanti Vanidah akan membuat pilihan yang berbeza.
“Bapa tidak pernah jemu dan berhenti meminta saya sambung belajar. Kata-katanya yang berbekas dalam hati sehingga sekarang adalah sampai bila hendak kerja berlakon balik lewat pagi.
“Saya bersyukur Allah gerakkan hati untuk saya jadi realistik sekali gus sambung belajar.Orang selalu kata buat sesuatu harus ambil kira nasihat ibu bapa.
“Ternyata apa yang bapa saya tekankan selama ini ada keberkatannya. Saya tidak pernah menyangka akan dapat tawaran masuk ke dunia akademik termasuk bergelar pensyarah.
“Itu semua antara hikmah yang dihamparkan apabila saya mula membuat keputusan besar dalam hidup untuk mengutamakan sisi akademik selain mengimbangi kehidupan hakiki. Paling penting bapa yang tidak menentu tahap kesihatannya masih berpeluang menyaksikan kejayaan ini,” katanya
Kongsi Vanidah yang juga pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), ijazah sarjana yang diterima cukup istimewa dan mengundang nostalgia.
Hal ini kerana, bapanya tidak dapat menyambung pengajian ijazah sarjana suatu ketika dahulu kerana kekangan kehidupan.
“Bapa saya menyambung pengajian ijazah sarjana ketika arwah ibu jatuh sakit dan didiagnosis menghidap kanser. Saya berusia tiga tahun dan adik lelaki hanya berusia 10 bulan ketika ibu meninggal dunia.
“Bergelut dengan kerja dan menjaga kami adik-beradik selain bersedih dengan pemergian ibu, satu beban yang berat menyebabkan bapa tidak dapat meneruskan pengajian,” tutur Vanidah.
Selepas ijazah sarjana, Vanidah yang sudah tiga dekad bergelar anak seni kini merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PHD).
Menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bukanlah untuk membuktikan kebijaksanaannya, sebaliknya lebih kepada kepuasan diri dan sebagai jaminan untuk masa depan.
“Saya tidak cuba buktikan apa-apa atau kepada sesiapa pun. Saya puas kerana suka belajar benda baru. Matlamat diri sendiri pun bertitik tolak kepada apa yang mahu dicapai dengan mencabar diri keluar dari zon selesa.
“Anak seni tidak kira di depan atau belakang kamera juga sebenarnya ada yang mempunyai tahap pendidikan baik, tetapi sering dilihat seperti tin kosong.
“Sambung belajar adalah keputusan untuk masa depan saya dan anak. Saya harap apa yang dilakukan juga dapat dijadikan contoh dan motivasi buat anak-anak,” jelasnya.
Sungguhpun begitu, cinta Vanidah terhadap dunia seni tidak pernah padam. Malah, sehingga kini Vanidah masih membahagikan masa antara karier akdemik dan seninya sebaik mungkin. Terbaharu, Vanidah kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri berjudul Kudeta.