KUALA TERENGGANU – Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak berdepan masalah mengatasi UiTM 4-1 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini hari ini.
Kemenangan itu dibantu penyerang berbisa, Faizal Saari, yang meledak hatrik bagi membolehkan THT terus menghambat pendahulu liga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kutipan 23 mata.
Beraksi di depan penyokong sendiri, Faizal membuka tirai jaringan selepas menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-14.
UITM yang ketinggalan 0-2 meningkatkan tempo permainan dan hampir mengurangkan defisit namun percubaan Faridzul Afiq Mohd. pada minit ke-15 gagal menewaskan penjaga gol tuan rumah, Hafizuddin Othman.
Bersambung babak kedua, THT terus selesa apabila Faizal melengkapkan hatrik hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-50 yang juga jaringan ke-19 pemain itu pada musim ini.
Kem tuan rumah kemudian diceriakan gol keempat THT menerusi pukulan kencang Ismail Abu (m-53) yang menerima umpanan tepat Marhan Mohd. Jalil dari sebelah kiri.
UiTM memperolehi gol saguhati melalui jaringan padang Danial Asyraf Abdul Ghani dua minit sebelum tamat namun sudah terlewat untuk mengelak daripada kekalahan 1-4. – KOSMO! ONLINE.