fbpx

Gadis Kampus: Haninatasha mahu jadi jururawat bahagian perbidanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK bongsu daripada lima beradik ini menjadikan kakak dan abangnya sebagai inspirasi untuk berjaya dalam hidup.

“SAYA sukakan bayi walaupun tahu bukanlah satu perkara yang mudah untuk menjaganya,” tutur Haninatasha Ismail memulakan bicara.

Masih lagi muda, namun sifat keibuan jelas terpancar pada gadis kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Berazam mahu menjadi jururawat bahagian perbidanan, tidak hairanlah jika anak bongsu daripada lima orang adik-beradik ini mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Sains Kejururawatan di Universiti Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu pada 2018.

Bukan sahaja berazam mahu menabur bakti membantu orang sakit, namun minat mendalam terhadap bidang kejururawatan menyebabkan gadis bertubuh kecil molek itu terpanggil untuk berkecimpung dalam bidang tersebut.

Kongsinya, antara pendorong kuat untuk dia menceburi bidang itu adalah kedua-dua ibu bapanya memandangkan ia adalah pekerjaan mulia membantu mereka yang memerlukan.

Begitupun akuinya, untuk mempelajari dan mendalami jurusan tersebut tidak semudah yang disangka.

GADIS kelahiran Kelantan ini sentiasa cekal dengan cabaran mendatang untuk mengejar cita-citanya.

Ini kerana, dia perlu mengetahui dengan lebih terperinci pengurusan bagi setiap jenis penyakit dan risiko-risiko yang bakal berlaku jika terdapat kesilapan sewaktu dalam proses rawatan.

Bahkan dia juga perlu mempersiapkan kekuatan mental dan fizikal untuk berhadapan serta merawat pesakit.

“Saya pernah menjalani latihan praktikal pada setiap semester. Antara hospital yang saya pernah melakukan latihan amali adalah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu; Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu.

“Pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah pada hari pertama melakukan praktikal di HSNZ yang mana saya harus mengendalikan mayat bersama rakan-rakan.

“Walaupun ia agak menakutkan kerana itu merupakan pengalaman pertama, tetapi saya dapat menguruskan perkara itu dengan sempurna selepas mempraktikkan apa yang telah dipelajari semasa di dalam kelas,” ujarnya.

Benar kata orang alah bisa tegal biasa, gadis itu berjaya membuktikan tiada apa yang dapat menghalangnya daripada terus merealisasikan impian tersebut.

Disebalik cabaran yang perlu dihadapi itu, Haninatasha berjaya meraih Anugerah Dekan dalam peperiksaan.

“Abang dan kakak merupakan sumber inspirasi dan pembakar semangat untuk saya meneruskan minat dalam bidang ini. Mereka merupakan jururawat yang kini bekerja di Hospitral Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

“Banyak pertolongan dan ilmu yang diberikan kepada saya berdasarkan pengalaman yang mereka pernah lalui ketika menjalankan tugas.

“Perkara tersebut membuatkan saya terinspirasi untuk meneruskan pembelajaran walaupun agak sukar pada awalnya.

“Selain itu, pensyarah saya sendiri sering menceritakan pencapaian dirinya dalam jurusan kejururawatan tersebut seperti peluang bekerja di negara luar seperti Arab Saudi atau Singapura,” katanya.

Kongsinya lagi, beliau berhasrat untuk menjadi jururawat sebaik tamat pengajian dan mengambil bahagian sebagai jururawat berdaftar di hospital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI