BATU GAJAH – Jalan Kampar ke Batu Gajah di sini mendapat jolokan ‘laluan maut’ oleh pengguna jalan raya kerana sering berlaku kemalangan pada waktu malam disebabkan binatang ternakan terutamanya kerbau hingga ada yang parah dan meninggal dunia.
Keadaan itu menimbulkan keresahan kepada penduduk di sekitar Batu Gajah kerana ia merupakan laluan utama mereka.
Salah seorang mangsa kemalangan, Azman Ghazali, 51, berkata, tulang bahunya patah selepas merempuh seekor kerbau di Jalan Tanjung Tualang menghala ke Malim Nawar.
Katanya, ketika kejadian pada pukul 11.30 malam itu, dia membonceng motosikal yang ditunggang rakannya.
“Kami hendak pulang ke rumah selepas habis bekerja di Batu Gajah. Memang selalu guna jalan itu untuk balik.
“Tiba-tiba kerbau melintas dan kami terjatuh hingga tulang bahu saya patah, manakala rakan cedera ringan. Sebelum itu, ada juga kerbau melintas tetapi saya sempat mengelak,” kata pekerja swasta itu.
Menurut Azman, dia berharap pihak berkuasa dapat berbuat sesuatu dan peka dengan masalah tersebut kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa pengguna jika dibiarkan.
Tambahnya, pemilik kerbau pula perlu memastikan ternakan mereka tidak berkeliaran di tempat awam terutama pada waktu malam.
Sementara itu, menurut seorang pekerja swasta, Abdul Rahman Faiz, 25, kemalangan yang berlaku tiga tahun lalu menyebabkan dia dan teman wanitanya dikejarkan ke Hospital Kampar akibat cedera parah.
“Kejadian pada pukul 10.30 malam itu berlaku ketika jalan lengang dan gelap. Pada mulanya saya berjaya mengelak seekor kerbau melintas, namun beberapa kilometer kemudian sekumpulan kerbau pula melintas menyebabkan saya hilang kawalan dan merempuh kereta dari arah bertentangan.
“Kemalangan itu menyebabkan tulang rusuk saya patah kiri dan kanan, manakala teman wanita saya mengalami pendarahan dalam kepala. Jalan itu memang saya guna untuk balik rumah di Kampar tambahan pula ia lebih dekat kalau hendak ke Batu Gajah,” katanya.
Lebih malang kejadian itu mengakibatkan Abdul Rahman gagal menyertai pasukan keselamatan seperti polis dan tentera.
“Sehingga kini, teman wanita saya terpaksa menjalani rawatan secara bulanan di hospital,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa, Mohd. Azmir Mahad Saiudin, 42, berkata, anak lelakinya pernah dikejar sekawan kerbau sewaktu pulang dari sekolah pada pukul 1.45 tengah hari.
“Saya risau pada pelajar yang melalui jalan tersebut. Takut ada yang kehilangan nyawa,” katanya.
Menurutnya, dia sudah beberapa kali memberitahu pemilik kerbau itu supaya melepaskan ternakan selepas pukul 2 petang, namun mereka tetap berdegil.
“Saya juga telah membuat laporan polis dengan tujuan ingin merujuk kepada ketua kampung dan pihak Majlis Daerah Batu Gajah agar segera mengambil tindakan,” tegasnya.