fbpx

Penyokong tegar Harimau Malaya derita jantung bengkak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Firdaus bersama ibunya, Chek Embon (kiri) dan adiknya, Nor Ain ketika ditemui di kediaman mereka di Sungai Udang, Nibong Tebal dekat sini kelmarin. – IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Seorang penyokong tegar skuad Harimau Malaya dan Penang FC, Mohd. Firdaus Ariffen kini terlantar di rumahnya dan tidak boleh berjalan seperti biasa sejak setahun lalu selepas disahkan mengalami masalah jantung membengkak.

Lebih menyedihkan apabila pemuda berusia 37 tahun itu hanya mampu terbaring dan mengharap­kan bantuan ha­rian daripada ibunya, Chek Embon Md Rashid, 55, bersama tiga adiknya termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU), Nur Ain, 36.

Menurut Mohd. Firdaus, dia reda dengan ujian yang dihadapi, namun sedikit pasrah apabila tidak mampu lagi menyempurnakan tanggungjawab sebagai anak sulung untuk membantu meringankan kos sara hidup keluarganya.

“Siapa yang mahu terlantar macam ini. Saya sudah hilang pendapatan sejak hampir setahun lalu. Semuanya bermula selepas saya mengalami masalah untuk tidur malam dan kerap kali merasai kepenatan pada Hari Raya Adidiladha tahun lalu.

“Doktor kemudian mengesahkan yang keadaan jantung saya mula membengkak dan perlu menjalani rawatan susulan di hospital setiap bulan. Keadaan perut dan kaki juga kini
turut bengkak.

“Mujur ada adik-beradik dan kawan yang prihatin dengan nasib saya. Nak harapkan wang simpanan memang tak cukup sebab sudah setahun tidak bekerja.

“Saya kini hanya berbelanja dengan wang sumbangan rakan penyokong bola sepak termasuk menerima lampin pakai buang daripada mereka. Saya juga menerima bantuan kerusi roda dan katil daripada wakil rakyat,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Sungai Udang, Nibong Tebal dekat sini kelmarin.

Mohd. Firdaus yang juga bekas kakitangan di sebuah syarikat pengeluar kereta tempatan itu memberitahu, dia sebelum ini aktif dalam sukan bola sepak dan pernah bermain di beberapa liga pada 2017 dan 2018 untuk Kelab Bola Sepak Perodua Rawang.

Dalam pada itu, dia juga tidak pernah ketinggalan untuk hadir menyokong skuad kebangsaan dan Penang FC beraksi pada kejohanan seperti Piala AFF, Liga Super, Piala Malaysia sejak 20 tahun lalu dan merupakan peminat setia pasukan sepak takraw Pe­nang Black Panthers.

Sementara itu, Chek Embon yang bekerja sebagai tukang cuci di Pasar Kemboja, Parit Buntar, Perak pula berkata, mereka kini menunggu proses permohonan bantuan sara hidup untuk Mohd. Firdaus dari agensi

Zakat Pulau Pinang serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pendapatan bulanan yang saya dapat tidak cukup untuk menanggung perbelanjaan anak saya ini (Mohd. Firdaus) secara keseluruhan. Alhamdulillah, adik-adiknya termasuk yang OKU sedia hulur bantuan menjaga abang mereka setiap kali saya keluar bekerja,” katanya.

Sementara itu, mereka yang prihatin dan ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Firdaus di talian 012-930 2836 (WhatsApp) atau 017-343 6673 (Chek Embon) atau bantuan terus ke akaun CIMB bernombor 7014486562 (Mohd. Firdaus ­Ariffen).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI