LONDON – Kerajaan Britain akan membayar elaun lebih £2,000 (RM10,938) kepada isi rumah di negara itu sekiranya membenarkan pelarian Ukraine tinggal di rumah mereka, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Di bawah skim baharu tersebut, setiap isi rumah akan diberi wang tunai sebanyak £350 (RM1,914) sebulan sebagai tanda penghargaan jika mereka menyediakan bilik kepada pelarian Ukraine tanpa mengutip sewa untuk sekurang-kurangnya enam bulan.
Setiausaha Perumahan, Michael Gove mengumumkan skim digelar Rumah untuk Ukraine itu bagi menyediakan tempat perlindungan yang selamat kepada beribu-ribu pelarian.
Skim itu termasuk sistem visa pantas yang akan mula dilaksanakan minggu ini dengan membenarkan gelombang pertama pelarian tiba dalam masa beberapa hari.
Pemilik rumah yang mengalu-alukan kedatangan pelarian di rumah mereka pula akan menerima wang inisiatif berjumlah £2,100 (RM11,484) selama enam bulan.
“Britain berdiri teguh di belakang Ukraine dalam situasi yang sukar ini. Penduduk negara ini memahami keperluan untuk menyediakan tempat perlindungan kepada pelarian secepat mungkin.
“Saya menggesa penduduk di seluruh negara untuk menyertai usaha ini dan menawarkan sokongan kepada rakan-rakan kita dari Ukraine. Marilah kita bersama-sama memberikan tempat tinggal yang selamat kepada mereka yang amat memerlukannya,” kata Gove.
Sebaik tiba di Britain, pelarian Ukraine dengan serta merta layak memasuki pasaran pekerjaan di negara itu, mendapat semua manfaat kecuali elaun perumahan serta akses penuh kepada perkhidmatan awam termasuk Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan sekolah-sekolah. – Agensi