Apabila Rusia menyerang Ukraine, Amerika Syarikat (AS) dan sekutu terutamanya pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mahu satu dunia menyokong mereka dan mengisytiharkan sekatan atau setidak-tidaknya mengecam Moscow.
Syarahan AS dan NATO supaya rantau Asia ‘menyertai’ pihak Barat nampaknya seperti ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’.
Dakwaan Presiden AS, Joe Biden bahawa Vladimir Putin melancarkan serangan tanpa justifikasi dan provokasi juga tidak diendahkan Asia khususnya China dan India.
Dakwaan itu kosong sebenarnya, Putin bukan orang gila yang sembrono tanpa dijolok untuk tiba-tiba menyerang negara lain.
Perang di Ukraine adalah hasil daripada rancangan NATO dan AS yang direncanakan selepas tumbangnya Kesatuan Soviet dan Pakatan Warsaw beberapa dekad lalu.
Terkini, Rusia menyenaraikan negara-negara yang dianggap ‘hostile’ terhadap Moscow untuk tindakan lanjut.
Penulis berharap Kerajaan Malaysia akan terus bersikap berkecuali dalam konflik ini.
Biarlah jiran kita di selatan mencanang-canang melaksanakan sekatan ke atas Moscow.
Jiran kita di selatan sememangnya pro-Barat dan memiliki persenjataan paling moden dan tentera antara paling kuat di rantau ini.
Putin yang sebelum ini tidak berminat dengan jiran tersebut kini mula membuka matanya.
Bagi penulis, usaha Barat untuk mengheret Asia supaya berpihak dalam perang di Eropah amat tidak wajar.
Perang tersebut tercetus akibat kerakusan NATO dan Rusia sendiri ibarat ‘anda tuai apa yang anda tanam’ dan jangan katakan Barat campur tangan di Eropah Timur demi demokrasi semata-mata.
Perang ini tiada kena mengena dengan Asia umumnya dan Asia Tenggara khususnya.
Jikalau benar NATO dan AS mahu memperjuangkan demokrasi dan kebebasan, hantarlah askar anda untuk berjuang bersama tentera Ukraine dan membebaskan rakyatnya.
Inilah masanya untuk NATO membantu anggota tidak rasminya, Ukraine.
Namun, Barat hanya mengenakan sekatan yang pada hemat penulis, akan turut sama terkesan sekiranya berlarutan dalam jangka masa panjang.
Hakikatnya, tiada seorang pun askar NATO atau AS berjuang bersama tentera Ukraine tetapi mudahnya Washington mahu Asia bersama-sama menyokong Barat. Penulis tidak menganggap Rusia betul, oh tidak!
Tetapi untuk berpihak dalam perang ini adalah seperti tiada beban, batu digalas. Negara tidak mendapat untung, malah mungkin beroleh kerugian dan terkena tempias tanpa berbaloi. Lagi pula, kita pun sudah banyak masalah sendiri yang perlu ditangani.