SEORANG anggota kumpulan terkenal, BTS iaitu Suga dilaporkan menyalurkan sumbangan cukup bermakna buat mangsa-mangsa kebakaran hutan yang berlaku di timur Korea Selatan awal bulan ini.
Pada 4 Mac lalu, kebakaran hutan yang besar berlaku di sebuah gunung berhampiran bandar tepi laut Uljin, wilayah Gyeongsang Utara.
Kebakaran tersebut kemudian merebak sehingga ke bandar Samcheok berdekatan wilayah Gangwon, seterusnya melibatkan bandar pantai timur lain seperti Donghae dan Gangneung.
Prihatian dengan nasib mangsa yang terlibat, Suga dilaporkan menyalurkan sumbangan bernilai 100 juta won (RM338,986), seperti dilaporkan Bantuan Bencana Kebangsaan negara tersebut.
Apa yang membuatkan ramai peminatnya terharu, Suga melakukan sumbangan besar tersebut sempena dengan sambutan hari lahirnya pada 9 Mac lalu.
“Saya harap sumbangan ini akan digunakan oleh mangsa yang menderita akibat kemusnahan yang berlaku akibat kebarakan hutan,” kata Suga.
Ini bukan kali pertama penyanyi itu melakukan sumbangan besar kepada yang memerlukan.
Tahun lalu, Suga dilaporkan pernah memberi sumbangan dengan nilai yang sama dalam usaha membantu pesakit kanser pediatrik.