GEORGE TOWN – Sebanyak enam buah motosikal dipercayai milik pelanggan musnah dijilat api dalam kebakaran di sebuah bengkel di Jalan Macalister di sini tengah malam tadi.
Kebakaran berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan mangsa mahupun kemalangan jiwa.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Saipul Bahari Abd. Kader berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.10 tengah malam dan tiba ke lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik tiba, bomba mendapati api dalam keadaan marak sehingga memusnahkan 70 peratus bahagian dalam bengkel motosikal berkenaan.
“Pasukan kami dengan bantuan orang awam terlebih dahulu berjaya menyelamatkan motosikal yang ditempatkan di luar premis dan menggunakan peralatan khas bagi memotong pagar besi untuk operasi pemadaman.
“Api berjaya dikawal kurang 10 minit kemudian dan pemeriksaan mendapati kira-kira enam buah motosikal di dalam bengkel hangus terbakar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pemilik bengkel tinggal di luar kawasan terbabit dan turut hadir ke tempat kejadian sebaik dihubungi rakannya.
Tambah Saipul, nilai kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan forensik bomba. – KOSMO! ONLINE