NEW YORK – Pemain pilihan kedua, Dominic Thiem berada dalam kelas tersendiri untuk melangkah ke pentas final kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali selepas menewaskan Daniil Medvedev pagi semalam.
Pada aksi separuh akhir itu, Thiem mempamerkan aksi matang dengan merekodkan kemenangan straight-set 6-2, 7-6, 7-6, untuk menempah aksi apabila dijadualkan bertemu Alexander Zverev awal pagi esok.
Kata Thiem, fokus dan kerja keras sepanjang perlawanan selain tahap keyakinan yang memuncak menjadi punca utama dia dapat menyingkirkan Medvedev.
“Ia bukanlah pertarungan yang mudah kerana Medvedev memberikan 100 peratus di atas gelanggang. Saya perlu menggandakan usaha untuk memastikan kemenangan straight-set dapat dicapai.
“Mengenai aksi final, saya anggap tiada siapa layak dijadikan pilihan kerana peluang untuk menang adalah terbuka sama ada saya atau Zverev. Dia adalah sahabat saya dan saya cukup teruja apabila bakal bertarung dengannya di pentas final Grand Slam,” katanya.
Sementara itu, Medvedev yang juga finalis Terbuka AS tahun lalu mengakui dirinya layak untuk tewas selepas Thiem mempamerkan aksi bagai sang juara dengan rentak konsisten sepanjang perlawanan.
“Dia sangat konsisten dan hampir menghampiri tahap tiga pemain terbaik dunia seperti Rafael Nadal, Roger Federer dan Novak Djokovic. Ia adalah perlawanan yang luar biasa dan saya puas walaupun tewas,” katanya. – AGENSI