fbpx

Batu 200 tan rumitkan cari mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAWASAN kejadian runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Ipoh pada Selasa lalu.

IPOH – Operasi mencari dua mangsa tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai yang memasuki hari kelima semalam menghadapi kesulitan dengan adanya bongkah-bongkah batu seberat lebih 200 tan.

Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata, dua jengkaut yang digunakan dalam operasi berkenaan tidak mampu mengalihkan bongkah-bongkah batu yang menyamai bangunan tiga tingkat itu.

Ujarnya, kaedah letupan terpaksa digunakan bagi meme­cahkan bongkah batu itu kepada saiz yang lebih kecil meskipun berdepan risiko struktur dinding bukit yang kemungkinan besar terjatuh.

“Operasi mencari mangsa turut berdepan kesukaran ekoran ruang terhad yang menyukarkan jengkaut untuk masuk ke sektor pencarian.

“Kita juga bimbang bongkah-bongkah batu akan tergelincir sekali gus memberi risiko kepada pemandu jengkaut. Setakat ini, hanya dua jengkaut yang digunakan dalam operasi tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut Aidil Adlee berkata, sehingga kini tumpuan pencarian memberi fokus kepada lokasi dua pekerja kuari itu berada berdasarkan gambaran rakan mereka yang terselamat.

Tambahnya, laluan sepanjang 300 meter telah dibuka dengan menggunakan jengkaut dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dijangka diatur gerak bagi mengesan kedudukan mangsa esok.

“Buat masa sekarang, kita sedang berusaha membuka laluan ke spot (kedudukan) mangsa berada dan kerja-kerja mengalih­kan batu juga telah berjalan sehingga 70 peratus.

Dalam kejadian di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Selasa lalu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun ­untuk rawatan, manakala rakannya berusia 38 tahun pula cedera ringan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI