LJUBLJANA, Slovenia – Sebuah mahkamah di Slovenia menjatuhi hukuman penjara dua tahun terhadap seorang wanita, Julija Adlesic kerana didapati bersalah memotong tangannya sendiri bagi mendapatkan wang insurans.
Agensi berita STA melaporkan, pasangan Julija yang didakwa memujuk tertuduh melakukan jenayah itu pula dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Daerah Ljubljana di sini kelmarin.
Setakat semalam, masih tidak jelas sama ada pasangan kekasih itu akan merayu hukuman mereka.
Julija, 22, ditahan awal tahun lalu kerana disyaki mengerat tangannya pada bahagian pergelangan menggunakan gergaji elektrik bagi mendapatkan tuntutan ganti rugi insurans berjumlah hampir €400,000 (RM1.9 juta).
Dia dipercayai mereka-reka cerita insiden tersebut bersama tiga yang lain awal tahun ini, tidak lama selepas mereka menandatangani polisi insurans nyawa dan kecederaan dengan lima syarikat insurans berlainan.
Wanita itu berharap untuk mendapat pampasan sekitar €380,000 (RM1.8 juta) dan bayaran bulanan sebanyak €3,000 (RM14,762), demikian menurut polis.
Kumpulan tersebut pada mulanya merancang untuk meninggalkan tangan kiri Julija dan tidak membawanya ke hospital dengan harapan mendapat pampasan tiga kali ganda lebih tinggi untuk kecacatan kekal susulan kejadian yang didakwa mereka sebagai kemalangan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menjumpai dan mengambil semula tangan Julija dan doktor-doktor di sebuah hospital di sini berjaya menyambungnya semula.
Purata pendapatan bulanan di Slovenia adalah sekitar €1,000 (RM4,920). – AFP