AMPANG – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyangkal dakwaan bahawa pihaknya tidak mengambil tindakan daripada penduduk mengenai aduan cerun di Taman Bukit Permai 2, sebelum ini.
Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, berdasarkan hasil semakan, pihaknya ada menerima aduan berhubung kerosakan longkang di hadapan rumah Jalan 1/2.
“Namun aduan itu bukan di tapak kejadian. Kita ada terima aduan mengenai longkang pecah dan ia sudah diperiksa dan anggaran kos pembaikan adalah RM1 juta,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, pihak MPAJ memang tidak menerima sebarang aduan mengenai kejadian gelongsoran tanah daripada penduduk di kawasan yang terjejas, sebaliknya aduan mengenai perkara itu diterima di dua lokasi lain.
“Hasil semakan yang dilakukan pihak MPAJ di tapak gelongsoran berkenaan mendapati tiada aduan diterima.
“Aduan yang dikemukakan adalah di dua lokasi berbeza, dengan ini ditegaskan bahawa MPAJ sentiasa mengambil tindakan segera terhadap aduan-aduan yang dikemukakan,” katanya.
Terdahulu, penduduk di kawasan terjejas tanah runtuh di Taman Bukit Permai meluahkan rasa terkilan dengan mendakwa pihak MPAJ tidak mengambil tindakan susulan berhubung aduan pergerakan tanah di cerun bukit.
Dalam Insiden tanah runtuh di Jalan Teratai 1/2J, Taman Bukit Permai 2, Ampang, petang kelmarin itu meragut empat nyawa, manakala seorang cedera ringan.
Sebanyak 15 rumah teres dua tingkat dan 10 kenderaan terjejas dengan dua kediaman tertimbus sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE