JOHOR BAHRU – Jumlah kehadiran pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dilihat agak perlahan sejak pusat mengundi dibuka seawal pukul 8 pagi.
Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi DUN Larkin, Zulkifli Bujang berkata, itu adalah hasil pemerhatiannya setelah melawat ke beberapa pusat mengundi di kawasan tersebut sejak awal pagi tadi.
“Saya telah ke beberapa pusat mengundi di sekitar kawasan ini dan mendapati perjalanan proses membuang undi di beberapa lokasi agak perlahan.
“Walaupun ada saluran yang tinggi jumlah keluar mengundi, tetapi ada golongan muda bagi saluran 7 dan 8 agak perlahan.
“Saya menyeru kepada anak muda khususnya yang boleh undi automatik, mungkin mereka tak perasan mereka boleh undi. Ada masa lagi beberapa jam untuk menunaikan tanggungjawab untuk pilih siapa pemimpin dirasakan layak memimpin,” katanya ketika ditemui di Dewan Kampung Melayu, di sini hari ini.
Zulkifli juga tidak menolak kemungkinan pengundi muda berusia 18 tahun ke atas akan keluar menunaikan hak mereka selepas tengah hari ini-KOSMO! ONLINE