MANCHESTER – Sekalipun masa depannya terus diperkatakan, Cristiano Ronaldo sentiasa tampil dengan mentaliti juara dan tidak sabar untuk ‘keluar’ daripada episod kecederaan pinggul dialaminya bagi membolehkannya kembali membantu Manchester United.
Selepas terlepas aksi derbi menentang Manchester City, Ronaldo tampil dengan mesej jelas yang dia begitu mengimpikan untuk kembali beraksi malah pengurus pasukan, Ralf Rangnick juga mengesahkan tiada lagi tambahan pemain yang cedera.
Ketika aksi bertemu City, Ronaldo dilaporkan kembali ke Portugal bagi menjalani pemulihan, namun bintang dunia berkenaan sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan menjelang aksi menentang Tottenham Hotspur awal pagi esok.
“Bekerja keras untuk menjadi lebih kuat. Bersemangat untuk kembali ke padang dan membantu pasukan,” katanya menerusi muat status pada Instagram miliknya.
Status muat naik Ronaldo itu hadir beberapa hari selepas ada khabar angin mengatakan dia dan ejen, Jorge Mendes bersedia untuk membawa kapten Portugal itu keluar dari Old Trafford.
Di sebalik berita panas Ronaldo dan Rangnick, pengurus itu pula seakan bersedia menyenaraikan pemain itu untuk aksi menentang Spurs, namun berkemungkinan di bangku simpanan kerana bimbang kecederaannya bertambah teruk.
Rangnick dikatakan mengambil keputusan itu memandang The Red Devils bakal berdepan satu lagi tugas getir bertemu Atletico Madrid pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu depan. – AGENSI