LANGKAWI – Pemain industri pelancongan di pulau peranginan ini melahirkan rasa gembira dengan pengumuman pembukaan semula pintu sempadan negara pada 1 April depan.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi (LTGA), Ardi Bahador, 44, berkata, dia berasa teruja menanti kedatangan pelancong asing tanpa perlu melalui pelbagai prosedur operasi standard (SOP).
“Mungkin tidak lama lagi pemandu pelancong di Langkawi akan kembali mendapat pendapatan seperti sebelum waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan.
“Kami juga berharap operasi kapal persiaran dari luar negara juga dapat dimulakan semula kerana kebanyakan pelancong dari kapal persiaran akan menggunakan khidmat pemandu pelancong,” katanya.
Pemilik rumah tamu Langkawi Country Lodge, Norhayati Abdullah, 54, pula berkata, perasaannya bercampur-baur apabila mendengar pengumuman pembukaan semula sempadan negara kelmarin.
“Rasa teruja dan bimbang apabila dengar sempadan negara dibuka, sebab sebelum ini semasa rentas negeri dibenarkan, kes meningkat dengan tinggi.
“Pada mulanya saya menjangkakan sempadan negara akan dibuka selepas raya dan berasa sedikit risau sekiranya kes kembali tinggi dan kerajaan menarik semula kebenaran rentas negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, di Kuala Lumpur, Pengarah Eksekutif KSB Travel & Tours Sdn. Bhd, Ahmad Mahadzir Shaffirin Md.Som berharap, SOP perlu fleksibel bagi memberi keselesaan kepada pelancong berikutan keputusan kerajaan itu.
“Perkara yang ditunggu kini adalah SOP yang jelas dan teratur bagi memudahkan operasi dalam kalangan pengiat industri pelancongan.
“Cuma perkara tersebut perlu diseimbangkan dengan kesedaran pelancong dalam dan luar negara untuk menjaga SOP kerana ancaman Covid-19 masih berleluasa,” ujarnya.