PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang bakal berlaku di tujuh negeri malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga pukul 9 malam nanti.
“Hujan lebat serta ribut petir bakal berlaku di Kedah melibatkan kawasan Kulim dan Bandar Baharu serta beberapa daerah di Pulau Pinang temasuklah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
“Di Perak, hujan lebat serta ribut petir sedang tertumpu di kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, cuaca buruk tersebut juga dijangkakan melanda sekitar negeri Selangor seperti di Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat serta keseluruhan Kuala Lumpur.
Sementara itu, MetMalaysia melaporkan bagi negeri Johor, antara kawasan yang bakal mengalami hujan lebat adalah Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Bagi negeri Sabah pula, kawasan di Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) serta Kudat juga bakal berdepan dengan cuaca buruk malam ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE