MUAR – Kerajaan akan berusaha merancakkan sektor pertanian supaya sumber agro makanan negara tidak terpaksa bergantung kepada pasaran luar.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesesuaian landskap muka bumi Malaysia harus dimanfaatkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran dunia sekaligus memberikan imbuhan kepada kumpulan petani.
“Krisis dunia yang berlaku kini menyebabkan masalah beberapa barangan melibatkan agro pertanian. Bagi sesetengah negara, mereka terpaksa menunggu sumber bekalan itu kerana tidak mampu menghasilkannya.
“Namun, berbeza dengan Malaysia yang dilihat mempunyai tanah pertanian yang banyak, sumber air bagi kolam-kolam dan pelbagai lagi. Jika kita memanfaatkan sumber ini, sektor agro makanan boleh dirancakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kementerian Pertanian dan Industr Makanan (MAFI) bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Komuniti Agro Makanan di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.