AMPANG – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan RM1 juta melalui Majlis Pembandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi kerja-kerja pembersihan berikutan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihak MPAJ akan mula menjalankan pembersihan selepas seluruh operasi menyelamat serta analisa risiko di kawasan berkenaan telah diambil kira.
“Kita juga meminta jabatan yang berkaitan untuk melakukan analisa risiko cerun bagi memastikan penduduk setempat berasa selamat berada di kawasan perumahan mereka.
“Bantuan juga akan ditambah sekiranya ia diperlukan oleh penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di sini selepas meninjau lokasi runtuhan di Taman Bukit Permai 2, hari ini.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar yang juga merangkap pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor berkata, jabatan berkaitan perlu membuat ujian cerun susulan beberapa insiden membabitkan kawasan cerun berlaku di negara kebelakangan ini.
“Sudah sampai masanya Kerajaan Persekutuan membuat kajian mengenai kedudukan bukit dan tanah tinggi terutamanya di kawasan Ampang.
“Kita tidak mahu peristiwa Highland Tower berulang lagi,” katanya ketika ditemui di sini, tadi.
Semalam, satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Taman Bukit Permai 2, di sini yang meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan. – KOSMO! ONLINE