fbpx

Industri sukan Rusia musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazepin terpaksa melupakan impiannya untuk kekal dalam saingan F1 apabila Haas menamatkan kontraknya ekoran ketegangan Rusia-Ukraine. - AFP

PENANGAN akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine kini melangkaui faktor politik apabila industri sukan negara yang dipimpin oleh Vladimir Putin itu berada di ambang kehancuran termasuk masa depan atlet dan ahli sukan mereka semakin kelam.

Pelumba pasukan Formula Satu Haas, Nikita Mazepin berdepan ketidaktentuan untuk menyertai perlumbaan musim ini apabila dia yang memegang lesen dari Rusia bakal berdepan sekatan.

Ditambah pula dengan pengaruh bapanya, Dimitry Mazepin yang dianggap antara individu yang rapat dengan Putin menyebabkan Haas menyekat segala aktiviti dana untuk pasukan tersebut.

Biarpun Persekutuan Automobil Antarabangsa memberi kebenaran untuk Mazepin terus berlumba, namun badan permotoran United Kingdom mengesahkan mereka akan menyekat pelumba itu daripada menyertai perlumbaan Grand Prix British bermula 1 hingga 3 Julai depan.

Tidak setakat itu, penganjur F1 juga mengambil langkah awal membatalkan perlumbaan GP Rusia di Litar Sochi, 25 September ini sebelum mengubah pendirian mereka apabila membatalkan kontrak penganjuran litar berkenaan selagi Putin terus berkuasa di negara itu.

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dilihat antara badan dunia yang berani apabila memutuskan tiada larangan dikenakan terhadap atlet dari Rusia dan sekutunya, Belarus bertanding atas tiket neutral pada temasya Sukan Paralimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Bagaimanapun, kurang 24 jam selepas kenyataan itu dikeluarkan IPC membuat pusingan U apabila 83 atlet dari kedua-dua negara itu telah diarah meninggalkan Beijing dan dipercayai ekoran tekanan dunia.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bola Sepak Eropah juga tidak kurang lantang apabila mengenakan sekatan ke atas skuad bola sepak lelaki dan wanita Rusia selain membatalkan penganjuran perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang sepatutnya berlangsung di Gazprom Arena, Saint-Petersburg.

Jika kerana alasan yang sama digunakan dunia untuk menyekat sukan dan keseluruhan industri berkaitan, skuad bola sepak Amerika Syarikat sepatutnya tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Piala Dunia 2002, 2006, 2010 dan 2014 lalu kerana sepanjang tempoh berkenaan kerajaan negara itu menjalankan operasi ketenteraan terhadap Afghanistan.

Namun, kerana AS dianggap negara yang paling ‘pandai’ mencatur perjalanan dunia tidak ada satu badan sukan dunia yang tampil mengeluarkan kenyataan yang sama.

Tanpa sebarang niat untuk menyokong tindakan Rusia dan Putin dalam isu pencerobohan terhadap Ukraine, namun perkara ini perlu dilihat secara ‘gentleman’ kerana politik dan sukan itu berbeza.

Bekas pelumba F1 dari Rusia, Daniil Kvyat menganggap apa yang dilalui oleh atlet Rusia ketika ini adalah satu bentuk diskriminasi yang perlu dihentikan kerana ahli sukan diterap dengan konsep perpaduan dan keamanan. Malah, mereka ini adalah ejen-ejen penting yang memiliki kemampuan untuk kembali menyatukan dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI