fbpx

Kemalangan motosikal, Raja Atiq alami kecederaan bahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN Raja Atiq (kanan) selepas motosikal ditunggang hilang kawalan di sebuah selekoh berpasir

PETALING JAYA – Pelakon Raja Atiq cedera pada bahagian bahu kirinya selepas alami kemalangan motosikal berkuasa tinggi ketika menuju ke Bukit Fraser sebentar tadi.

Ketika kemalangan Raja Atiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 22, bersama rakan artis penyanyi Tajul dan pelakon Afieq Shazwan berkonvoi motosikal berkuasa tinggi.

Malangnya, motosikal ditunggang oleh Raja Atiq hilang kawalan di sebuah selekoh berpasir mengakibatkan pelakon yang popular dengan drama Nur itu terjatuh.

“Saya sudah perlahankan motosikal kerana selekoh tajam, bagaimanapun jalan tersebut berpasir menyebabkan saya hilang kawalan dan terjatuh.

“Setakat ini saya belum melakukan ujian imbasan sinar-X (X-Ray) dan doktor memberitahu kemungkinan tulang bahu saya patah atau terkeluar dari soket.

“Selepas melakukan pemeriksaan lanjut barulah saya dapat tahu apa sebenarnya yang tercedera. Buat masa ini memang bahagian belah kiri badan rasa sakit sangat,” kata Raja Atiq ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Selepas kemalangan Raja Atiq telah mendapat rawatan kecemasan di Hospital Kuala Kubu Baru dan kini dalam perjalanan dipindahkan ke hospital KPJ Ampang Puteri untuk rawatan lanjut.

Tambah Raja Atiq ini adalah kali kedua dia mengalami kemalangan motosikal berkuasa tinggi selepas kali pertama pada tahun lalu.

“Ini kali kedua saya alami kemalangan dengan motosikal berkuasa tinggi, kalau motosikal biasa memang sudah banyak kali tidak terkira.

“Doakan supaya tiada kecederaan serius untuk saya. Terima kasih buat semua yang mengambil berat dan mendoakan kesihatan saya,” ujar Raja Atiq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI