fbpx

PRN Johor : ‘Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina ketika hadir program sumbangan tong ikan kepada nelayan di Jeti Sungai Musoh, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Rakyat di Johor khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat dan DUN Penawar diingatkan agar tidak termakan dengan isu kluster mahkamah dimainkan dalam kempen parti lawan sehingga mengambil keputusan yang merugikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mereka yang membawa isu itu jelaslah akan balik ke kawasan masing-masing selepas PRN selesai, sedangkan rakyat perlu membuat keputusan sama ada menerima habuan kejayaan atau terima cabaran kegagalan sekiranya memilih dalam keadaan ‘marahkan nyamuk bakar kelambu’.

“Saya nak ingatkan pengundi, 13 Mac mereka semua yang cakap-cakap ini (yang kempen) akan balik. Keduanya tak ada kluster mahkamah yang bertanding di DUN Penawar dan DUN Tanjung Surat. Kita tawarkan ketua pemuda UMNO dan ketua Wanita UMNO yang dilahirkan dari keluarga UMNO.

“Satu perut dengan ahli parlimen senang untuk kita buat kerja sebab lepas menang kita nak buat kerja bukan lepas menang kita hilang sebab itu saya kata, cakap memang senang nak buat susah, jangan marah nyamuk bakar kelambu.

“Kemudian yang pembangunan ini siapa nak selesaikan kalau suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berlainan dari parlimen, berlainan dengan kerajaan negeri, siapa hendak selesaikan masalah kalau rakyat Johor pilih kerajaan yang tak majoriti,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir program sumbangan tong ikan kepada nelayan di Jeti Sungai Musoh di sini hari ini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang juga merangkap Ketua UMNO Bahagian Pengerang berkata, keputusan mengadakan PRN Johor dibuat untuk memberi kestabilan lebih kepada rakyat dan demi kebaikan masa depan bangsa Johor.

Katanya, keputusan itu tiada kena mengena dengan keinginan kepimpinan tertentu bahkan isu yang dimainkan pihak lawan seperti pintu belakang, hendak berkuasa selain kluster mahkamah semuanya hanyalah cerita yang sudah basi.

“Alhamdulilah kita terima respon positif pada calon kita di kedua-dua DUN. Saya nak minta pengundi muda dan pengundi automatik yang ada 14,000 orang untuk pilih kepada mereka yang ada disini. Jangan terlampau ghairah terhadap isu-isu yang tidak relevan,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan isu pekerjaan yang dimainkan parti lawan, Azalina berkata di parlimen beliau sentiasa menegur syarikat besar seperti Petronas agar orang tempatan diberikan keutamaan dalam pekerjaan dengan mewujudkan sistem kouta.

Katanya melalui Ikhtiar Barisan Nasional (BN) juga Menteri Besar memberikan beberapa komitmen dan berharap calon yang ditawarkan dalam PRN, calon anak muda dalam DUN akan menyambung membuat tuntutan atas komitmen tersebut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI