fbpx

Bekas PM Jepun dijadual menghadap Agong hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHINZO ABE

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin di Istana Negara, di Kuala Lumpur hari ini.

Ia antara acara lawatan khas ke Malaysia selama tiga hari beliau yang juga merangkap Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, bermula dari semalam sehingga esok.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan tersebut juga bersempena Ulang Tahun Ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (DPT) serta 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Jepun.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut akan menerima kunjungan hormat beliau dan meraikannya dalam satu majlis makan malam rasmi hari ini,” kata Wisma Putra.

Abe, 67, merupakan Perdana Menteri Jepun dari 2006 hingga 2007 dan 2012 hingga 2020 iaitu empat penggal sekali gus penyandang jawatan terlama dalam sejarah negara tersebut.

Mengulas lawatan itu, Wisma Putra menambah, Abe dijadualkan menerima penganugerahan ijazah Doktor Kehormat Politik Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Ia bersempena Majlis Konvokesyen Ke-36 di kampusnya di Gombak, Selangor pada esok yang turut diserikan dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda sendiri,” jelas kenyataan itu.

Lawatan khas Abe tersebut ujarnya, mencerminkan keakraban dan kerjasama erat dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Jepun terutamanya tempoh empat dekad pelaksanaan DPT.

Sepanjang tahun lepas, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan merekodkan perdagangan dua hala bernilai RM149 bilion di sebalik cabaran wabak Covid-19.

“Sehingga Disember tahun lalu, Jepun juga merupakan pelabur terbesar berdasarkan jumlah projek dilaksanakan dalam sektor pembuatan dengan nilai RM90.9 bilion,” kata Wisma Putra. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI