AMPANG – Sumbangan sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada empat keluarga mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini semalam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan lain sedang diperincikan kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban mangsa.
Menurutnya, lebih 200 penduduk di 48 rumah diarah mengosongkan kediaman bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini .
“Tindakan itu diambil susulan hasil pemantauan awal dilakukan mendapati terdapat rekahan yang dikhuatiri menyebabkan pergerakan tanah.
“Kita perlu melakukan kajian terperinci berhubung perkara itu kerana dibimbangi pergerakan tanah masih berlaku disebabkan rekahan terbabit.
“Di peringkat awal, evakuasi adalah perkara yang paling penting untuk dilakukan sebelum kita buat pembersihan dan dalam tempoh dua hingga lima hari kita boleh nyatakan sama ada kawasan itu selamat atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Taman Bukit Permai 2, di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr. Ani Ahmad berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disediakan bagi menempatkan penduduk yang terkesan.
“Bagaimanapun, tiada penduduk yang tinggal di PPS berkenaan. Mereka memilih untuk tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa yang berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE