KUALA LUMPUR – Angkara melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang sedang dikuatkuasakan, 68 pengunjung dua pusat hiburan di ibu negara dikenakan kompaun berjumlah RM70,000 lewat malam tadi.
Kompaun tersebut dikeluarkan sepasukan pegawai dari Jabatan Pencegahan Jenayah Dan
Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur ketika melakukan serbuan secara berasingan di kedua-dua premis berkenaan.
Ketua JPJKK Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, ketika serbuan dijalankan mendapati kedua-dua pusat hiburan tersebut itu beroperasi dengan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan ketika ini.
“Justeru itu, pihak polis telah mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap kedua-dua pemilik premis.
“Pada masa sama, 11 orang pengunjung di premis pertama dan 57 orang pengunjung di premis kedua turut dikompaun RM1,000 setiap individu, menjadikan keseluruhan kompaun yang dikeluarkan RM70,000,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, menurut beliau, JPJKK Kuala Lumpur sudah mengeluarkan sebanyak 521 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM521,000 ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar ibu negara sejak 1 Januari lalu hingga malam tadi.
Katanya, kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Jelasnya, operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke
semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama. – KOSMO! ONLINE