PETALING JAYA – Fasa peralihan monsun di Malaysia dijangka bermula pada 14 Mac ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei 2022.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, permulaan fasa tersebut menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 3 November 2021.
Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, semasa fasa peralihan monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
“Keadaan ini amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Keadaan ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pendalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, keadaan itu juga berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Oleh itu, orang ramai dinasihati untuk lebih berwaspada dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
Dalam laporan lain yang dikeluarkan MetMalaysia, beberapa kawasan di negeri Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dijangka mengalami hujan lebat berserta ribut petir sehingga pukul 6 petang nanti. – KOSMO! ONLINE