SUNGAI banyak menyimpan khazanah hidupan air yang bukan sahaja menjadi sumber rezeki buat para nelayan tetapi juga kepada kaki-kaki pancing.
Salah satu hidupan sungai yang kerap menjadi buruan ialah udang galah atau lebih sinonim dengan gelaran si sepit biru dalam kalangan pemancing dan nelayan sungai.
Bagi Zulkifli A. Wahab, 45, memburu udang galah bukanlah semudah disangka kerana memerlukan teknik tertentu yang agak berbeza dengan teknik memancing ikan.
Dia yang berpengalaman memancing hidupan air tawar sejak kecil berkata, terdapat beberapa perkara dipelajari daripada datuknya dari dahulu lagi yang menjadi panduan kepadanya setiap kali turun ke sungai untuk memancing udang galah.
“Ketika berusia 9 tahun, saya sudah ikut datuk saya memancing ikan dan udang galah di sungai sekitar Muar, Johor.
“Banyak ilmu yang diajar kepada saya khususnya teknik untuk memancing udang galah sama ada dari segi umpan, cara melihat pergerakan air, lokasi lubuk udang dan sebagainya.
“Sehingga ke hari ini, itulah perkara yang saya amalkan setiap kali turun ke sungai untuk memburu si sepit biru,” katanya kepada K2.
Zulkifli yang kini bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah rendah di Tangkak, Johor berkata, kesibukannya sebagai pendidik di sekolah tidak pernah menghalangnya untuk meneruskan hobinya sebagai pemancing.
Boleh dianggap sebagai pemancing tegar, dia boleh dikatakan akan turun ke Sungai Gersik, Muar untuk memancing udang galah hampir setiap hari termasuk pada hari bekerja.
“Ia tidak mengganggu tugas saya sebagai seorang guru kerana saya ke sekolah pada waktu pagi sehingga tengah hari sahaja. Saya hanya akan ke sungai memancing udang galah pada lewat petang hingga ke malam.
“Biasanya, saya akan naik bot gentian kaca milik saya kira-kira pukul 6 petang di Jeti Cikgu Shidi dan hanya akan pulang semula ke jeti sekitar pukul 12 tengah malam atau 1 pagi.
“Kalau hari cuti atau hujung minggu, barulah saya pergi memancing waktu siang seawal pukul 7 pagi dan pulang ke jeti sebelum waktu Maghrib,” ujarnya.
Kata anak jati Muar itu lagi, ketika memancing dia kerap ditemani sepupunya, Nazaruddin Ab. Hamid, 46, yang turut meminati aktiviti tersebut dan mereka akan menggunakan sekurang-kurangnya 10 batang joran pada satu-satu masa.
Selain Sungai Gersik, dia dan sepupunya itu juga kerap berkunjung ke beberapa sungai lain seperti Sungai Muar, Sungai Kolim, Sungai Nitar dan Sungai Tereh di Johor selain Sungai Ganchong serta Sungai Pahang di Temerloh, Pahang.
Bercakap mengenai teknik memancing udang galah, Zulkifli berkata, kebiasaannya dia akan menggunakan batang pancing dan mesin bersaiz kecil atau sederhana sahaja memandangkan berat udang galah sungai cuma sekitar 50 gram (g) hingga 350g sahaja seekor.
Dia turut menggunakan tali utama bersaiz antara 20 paun hingga 50 paun yang dipadankan dengan tali perambut jenis ‘ultralight’ dan mata kail saiz satu hingga lima.
“Sebelum pergi memancing, saya melihat keadaan air sungai terlebih dulu kerana perubahan air sungai akan mempengaruhi kedudukan udang di dalam air dan jenis umpan yang patut digunakan.
“Jika air sungai perlahan atau cetek, saya akan melabuhkan bot di tengah-tengah alur sungai dan jika air tinggi atau sedikit deras, saya akan memburu udang galah di kawasan tebing.
“Biasanya, udang galah banyak berkumpul di kawasan tebing yang mempunyai timbunan kayu atau reba kerana di situ banyak makanan sama ada udang lain, ikan dan sebagainya.
“Untuk umpan pula, kalau air sungai jernih dengan suhu yang agak panas atau suam, saya akan menggunakan umpan hidup seperti anak udang atau ikan guppy dan jika air sungai agak keruh, saya akan guna umpan yang berdarah seperti umpun-umpun atau isi kerang,” katanya.
Menurut Zulkifli, kebiasaannya, dia mampu menaikkan kira-kira 1.5 kilogram (kg) udang galah pelbagai saiz setiap kali memancing di sungai tersebut.
Jika kebetulan musim udang galah, dia mampu menaikkan antara 3kg hingga 5kg bagi tempoh memancing sekitar enam hingga 10 jam.
Jelasnya lagi, di sebalik keasyikan memancing, dia juga perlu berhati-hati dengan ancaman buaya dan ular berbisa yang banyak terdapat di kawasan tebing sungai. Namun jelasnya, sehingga kini dia belum pernah berdepan situasi diserang haiwan tersebut kerana jelasnya, dia cuba mengelak daripada melakukan provokasi yang boleh menarik perhatian haiwan tersebut ke arahnya.
“Walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko, memancing udang galah ini memang sudah sebati dengan diri saya kerana selain menjadi hobi, saya juga menjadikannya sebagai sumber pendapatan tambahan kerana harganya yang agak tinggi.
“Biasanya udang galah dibahagi kepada empat gred iaitu A+, A, B dan C dan dijual antara RM50 hingga RM100 sekilogram bergantung saiz dan gred.
“Jika ada rakan-rakan yang sudah menempahnya, saya akan menjual kepada mereka dan jika tidak, saya jualnya kepada peniaga di pasar,” ujarnya.