MANCHESTER – Legenda Manchester United, Dimitar Berbatov membidas aksi hambar yang ditampilkan pasukan itu dalam beberapa aksi terdahulu termasuk ketika dibelasah 1-4 oleh Manchester City sebelum ini.
Bekas pemain Bulgaria itu menganggap corak permainan yang ditampilkan skuad kendalian Ralf Rangnick tidak boleh diterima kerana langsung tidak menggambarkan status kelab tersebut.
Justeru, beliau mendesak pemain-pemain United agar bangun daripada tidur memandangkan mereka semakin hampir untuk terlepas slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
“Saya sangat marah dan sedih dengan apa yang dipersembahkan oleh United ketika berdepan City. Kekalahan seperti itu sukar untuk diterima, lebih-lebih lagi ia adalah aksi derbi.
“Apa yang boleh saya cakap, United langsung tidak memiliki perancangan. Walaupun memiliki antara skuad yang paling berbakat, namun ia seperti sia-sia kerana tidak digunakan sebaiknya,” kata Berbatov.
Pada masa sama, bekas pemain Tottenham Hotspur itu menggesa Rangnick supaya sedar dengan kemampuan kapten, Harry Maguire yang dilihat sering menjadi punca United melepaskan gol dalam setiap perlawanan.
“Rangnick perlu bertindak dengan merehatkan Maguire dan memberikan peluang kepada pemain lain. Kesilapan-kesilapan yang dilakukan olehnya menjejaskan keyakinan dia untuk memimpin pasukan,” ujarnya. – AGENSI