LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan, beliau mahu meraikan kemenangan selepas skuad kendaliannya itu berjaya melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara meskipun sekadar seri tanpa jaringan ketika berdepan Sporting Lisbon.
Penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut membawa bekalan selesa selepas berpesta gol pada aksi pertama dengan bergaya menumbangkan Lisbon 5-0.
Hasil keputusan tersebut, City kini melangkah ke suku akhir bagi musim kelima berturut-turut selepas menang secara agregat 5-0.
“Saya sangat gembira kerana dalam kedua-dua perlawanan kami berjaya melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara sekali lagi. Ia petanda baik bagi pasukan dan juga buat pemain.
“Kini kami layak ke 16 terakhir dan menjadi lapan pasukan terbaik di Eropah. Saya kini cuba untuk belajar meraikan kemenangan kerana saya tahu betapa sukarnya melepasi cabaran ini.
“Bila anda melalui setiap perlawanan sukar, kini sudah tiba masanya untuk mengucapkan tahniah kepada semua. Kini tumpuan pasukan terarah di EPL pula,” kata Guardiola.
Dalam pada itu, Guardiola turut memuji penampilan sulung pemain muda berusia 19 tahun, CJ Egan-Reilly pada Liga Juara-Juara selepas beberapa pemain utama mengalami kecederaan.
“Egan-Riley bermain dengan baik, malah tidak melakukan sebarang kesilapan mudah. Penting baginya bersama pasukan dan juga perlawanan akan datang,” tambah Guardiola. –AGENSI