fbpx

Nur Dini mahu penamat terbaik debut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR DINI (tengah) memasang impian untuk menaiki podium pada saingan Kejuaraan Cub Prix kelas Wira musim ini. – MOHD FARIZWAN HASBULLAH

MESKIPUN baru pertama kali beraksi dalam kelas Wira dalam kancah Kejuaraan Cub Prix Malaysia, namun ‘bunga’ berusia 17 tahun, Nur Dini Uzma Abdullah tekad untuk mencari penamat podium sepanjang musim 2022.

Mesra disapa Dini, pelumba kelahiran Melaka itu yang beraksi dalam perlumbaan ‘Yamaha One Make NVX Challenge’ tahun lepas itu berkata, dia mahu memberi saingan dengan mengutip mata meskipun sedar perlumbaan itu didominasi kaum lelaki.

Jelasnya, ramai muka baharu bakal mengisi grid perlumbaan kelas Wira musim ini, sekali gus bakal mewujudkan peluang sama rata.

“Pastinya misi saya untuk berada dalam pasukan Tobaki Pink Racing ini adalah untuk melebarkan sayap pada tahap lebih tinggi. Saya yakin permulaan beraksi dalam kelas Wira mungkin menjadi batu loncatan buat saya.

“Menjelang perlumbaan hujung minggu ini, saya mahu mencari keserasian dengan jentera terlebih dahulu. Saya harap mampu melakukan lebih baik pada sesi latihan esok (hari ini) dan Sabtu ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menjelang perlumbaan minggu ini, Dini akan dibantu mekanik perlumbaan yang juga seorang wanita berusia 18 tahun, Qistina Batrisyia Mohd. Salleh bagi memastikan kelancaran saingan tersebut.

“Pastinya kehadiran Qistina akan menjadikan pasukan ini le­bih lengkap sebagai satu keluarga Tobaki Pink Racing.

“Saya satu-satunya pelumba wanita yang bersama pasukan ini, jadi adanya Qistina selaku mekanik perlumbaan, saya rasa lebih selesa ketika perlumbaan mahupun selepas habis saingan,” katanya.

Dalam pada itu, Tobaki Pink Racing memasang impian besar untuk muncul juara keseluruhan perlumbaan bagi kategori CP125 musim ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI