PETALING JAYA – Pihak Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mengambil maklum mengenai rungutan seorang pemilik rumah di Residensi Ranggu, Tawau, Sabah yang mempersoalkan keberadaan pekerja pembinaan di dalam rumahnya.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik oleh PR1MA Homes di laman Facebook memaklumkan, pihaknya telah memberi amaran kepada kontraktor terlibat dan segera meminta penghuni yang berada di dalam rumah untuk keluar.
Berita berkaitan: ‘Rumah dah bayar bulan, tapi penuh dengan keluarga pekerja’
“Untuk pengetahuan, pihak kontraktor telah diberi amaran dan telah mengosongkan kediaman tersebut.
“Unit-unit di Residensi Ranggu sekarang dalam fasa-fasa akhir untuk disiapkan dan dikemaskan sebelum proses serahan kunci kepada para pembeli dijalankan,” katanya.
Sehubungan itu, pihak PR1MA ingin memohon maaf atas segala kesulitan dan memberi jaminan bahawa setiap kediaman yang dibina mematuhi piawaian serta garis panduan sebelum kunci diserahkan.
Terdahulu, seorang wanita mendakwa rumah yang dibeli di kawasan residensi berkenaan telah didiami oleh pekerja projek perumahan tersebut bersama keluarganya sementara ia masih dalam proses pembinaan. – KOSMO! ONLINE