PASIR PUTEH – Seorang penjaga tandas ditahan selepas disyaki membuat tohmahan terhadap dua anggota polis yang bertugas di unit kereta peronda (MPV) dengan mendakwa pihak berkuasa mencuri duit syiling berjumlah RM250, ‘powerbank’ dan kunci kereta miliknya menerusi akaun Facebook kelmarin.
Lelaki berusia 24 tahun yang bekerja di Kuala Terengganu, Terengganu itu ditahan kira-kira pukul 12.45 tengah hari selepas polis mengambil keterangannya berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, hasil siasatan mendapati, suspek sebenarnya bertindak membuat dakwaan tersebut sebagai alasan selepas dia telah menggunakan wang majikannya itu.
Menurutnya, sebelum kejadian, dua anggota polis menjalankan rondaan di sekitar daerah ini sebelum bertemu dengan sebuah kereta yang dipandu lelaki itu kira-kira pukul 4.30 pagi.
“Dua anggota polis itu kemudian mengekori kereta terbabit sehingga ke sebuah rumah di Kampung Padang Siam di sini sebelum melihat lelaki berkenaan tiba-tiba keluar dan melarikan diri ke belakang sebuah rumah.
“Anggota polis telah memeriksa di dalam kereta terbabit sambil disaksikan oleh rakan suspek, namun tidak menemui duit syiling seperti yang didakwa olehnya menerusi hantaran menerusi akaun Facebook miliknya.
“Polis menyedari tohmahan dan dakwaan di Facebook yang seolah-olah menyindir pihak berkuasa tidak mempunyai wang, miskin dan kerja polis mengambil duit orang kira-kira pukul 8 pagi sebelum menjalankan siasatan untuk mengesan lelaki itu dan rakannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, suspek sendiri menggunakan wang berkenaan sebelum membuat dakwaan palsu terhadap polis bagi mengelak daripada dikesan majikannya.
Ujarnya, ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai tiga rekod lampau berkait kes pemerasan dan dadah. -KOSMO! ONLINE