TANGKAK – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menempelak kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mendakwa Singapura maju kerana tiada UMNO.
Menurut Ahmad Zahid, dakwaan itu sama sekali tidak berasas ekoran UMNO juga sebelum ini pernah tertubuh di negara republik berkenaan sebelum nama parti itu diubah kepada nama baharu.
“Dia tak ingatkah Singapura dahulu ada UMNO, tetapi kemudian ditukar kepada PKMS iaitu Persatuan Kebangsaan Melayu Singapore.
“Kalau macam itu, Amerika maju kerana tiada UMNO juga? Atau Perancis? Jadi Kelantan dikira maju pun kerana tiada UMNO?,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika hadir dalam Ramah Mesra Presiden bersama Pengundi di PDM Sawah Ring DUN Gambir, di sini hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid menegaskan parti lain seharusnya menggunakan kaedah lebih matang jika mahu menjatuhkan pihak lawan berbanding membuat perbandingan cetek.
“Kalau kita mahu memperkecilkan lawan atau rakan politik lain, saya fikir gunakanlah alasan yang lebih bijak
“Saya fikir alasan kebudak-budakan ini kita tak perlu layan, biar alasan intelektual. Saya anggap perkara itu perkara yang terlalu remeh untuk saya berikan respon,” katanya. -KOSMO! ONLINE