IPOH – Usaha pasukan penyelamat menggunakan lima unit dron bagi mengesan kedudukan dua mangsa runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini masih menemui jalan buntu.
Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata, dron Unit Udara JBPM Perak yang dilengkapi teknologi pengimbas itu mampu mengesan suhu badan mangsa yang tertimbus runtuhan pada kedalaman sembilan hingga 12 meter.
Bagaimanapun katanya, setakat ini, tiada petunjuk positif dalam operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang memasuki hari ketiga.
“Pada operasi semalam, kita terbangkan empat dron, namun tiada petunjuk kesan haba daripada mangsa yang tertimbus. Hari ini kita cuba lagi satu dron, namun masih belum menjumpai kedudukan kedua-dua mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi hari ini membabitkan kerja-kerja pengalihan bongkah batu yang besar namun terpaksa ditangguhkan sementara ekoran hujan lebat pada sebelah pagi.
Katanya, keadaan cuaca yang tidak baik itu menyebabkan berlaku runtuhan bongkah-bongkah batu kecil dan gelungsuran tanah.
“Berdasarkan penilaian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang menyatakan (runtuhan batu kecil dan gelungsuran tanah) adalah petanda awal berlaku runtuhan yang besar.
“Hasil perbincangan dengan pihak polis, JMG dan pemilik kuari, proses mengalihkan bongkah di sektor yang ditetapkan hanya boleh dilakukan pada pukul 4 petang. Ini berdasarkan penilaian risiko oleh JMG,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi kelmarin, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – KOSMO! ONLINE