KLANG – Sebanyak 12 premis yang menjalankan aktiviti judi atas talian di sekitar daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak berkuasa dalam tempoh dua hari.
Operasi pemotongan itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Klang bermula kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, tindakan tegas itu dilakukan bagi mencegah aktiviti perjudian online yang dilihat membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Katanya, risikan dan operasi masih dijalankan pihaknya bagi memastikan kegiatan haram itu digempur sepenuhnya.
“Selain memotong bekalan elektrik itu, kita meminta pemilik premis tidak sewenang-wenangnya menyewa premis kepada sindiket perjudian.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mengingkarinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Vijaya, operasi sama turut dijalankan pihaknya masing-masing melibatkan 32 dan 26 premis pada 2020 serta tahun lalu. -KOSMO! ONLINE