KUALA LUMPUR – Tempoh operasi premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur (KL) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa akan dikekalkan sehingga pukul 12 tengah malam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan berkata, penetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bersidang semalam bagi memudahkan tugas pemantauan dilakukan.
“Sepanjang tempoh PKPP, DBKL bersama agensi-agensi lain telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP ke atas 7,200 premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.
“Hasil pemantauan yang dilaksanakan pada setiap hari mendapati tahap pematuhan SOP PKPP masih perlu ditingkatkan,” katanya.
Jelas kenyataan itu, DBKL memohon kerjasama pemilik, pengendali premis perniagaan dan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan serta kekal mengamalkan kawalan kendiri.
“Pakai pelitup separuh muka, jaga kebersihan dan mengamalkan penjarakan fizikal apabila berada di tempat awam,” ujar kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa operasi kedai makan dan kedai serbaneka kini dilanjutkan sehingga jam 2 pagi.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang mendakwa pendapatan mereka terjejas berikutan waktu operasi terhad. -K! ONLINE