PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan membenarkan saf solat berjemaah di masjid dan surau dirapatkan bermula 1 April depan diharap dapat diimarahkan penduduk kariah sebaiknya.
Impian tersebut malah diyakini Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir sambil optimis bahawa rumah Allah akan kembali penuh.
“Semoga solat fardu subuh yang ketika ini sunyi dek kurang jemaah bakal sesak dengan ramai datang seumpama suasana solat Jumaat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob membuat kejutan apabila beliau mengumumkan pemansuhan penjarakkan fizikal untuk solat berjemaah di masjid dan surau.
Pembatalan peraturan yang dilaksanakan sejak awal 2020 lalu turut meliputi premis ibadah bukan Islam dan menerima reaksi positif dari kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini. -KOSMO! ONLINE