SHAH ALAM – Seorang pembantu jurutera direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung rasuah RM2,500 bagi kerja penurapan jalan di dua buah lorong kampung di sebuah daerah di negeri ini.
Reman bermula hari ini terhadap suspek lelaki berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek terlebih dahulu ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Selangor.
Katanya, suspek sebelum ini bekerja di Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) sebuah daerah di negeri ini selama enam tahun bermula 2013.
“Suspek dikatakan telah meminta dan menerima rasuah sebanyak RM2,500 daripada sebuah syarikat kontraktor pada Februari tahun lalu.
“Ini sebagai balasan untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan kerja-kerja penurapan jalan bernilai lebih RM91,000,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Kata sumber, kerja-kerja penurapan di dua buah lorong itu telah dilaksanakan pada tahun 2020 dengan salah satunya sepanjang 500 meter.
Tambah sumber sama, suspek kini bekerja di sebuah agensi kerajaan negeri yang lain sejak 2000.
“Siasatan masih dilakukan sama ada ada suspek lain yang terlibat,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. -KOSMO!ONLINE