fbpx

Lima jam jalan terhalang akibat kemalangan tujuh kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lori 10 tan yang menghalang jalan setelah terbabit dalam kemalangan di di atas jambatan berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ipoh pagi tadi.

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Kenderaan yang melalui Jalan Lahat ke Station 18 dekat sini terpaksa menggunakan laluan lain apabila jalan itu ditutup kira-kira lima jam ekoran kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di atas jambatan berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh pagi tadi.

Kemalangan berlaku apabila lori 10 tan dari arah Lahat yang membawa muatan batu mengalami masalah brek semasa menuruni jambatan tersebut sebelum melanggar enam kenderaan lain.

Kenderaan yang terlibat ialah sebuah lori lima tan, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard, Toyota Vios (dua) serta masing-masing sebuah Proton Wira dan Perodua Axia.

Ketua Operasi BBP Pasir Puteh, Azmil Kamaludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.33 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota bersama dua jentera ke tempat kejadian.

Menurut beliau, kejadian turut mengakibatkan lori treler itu merintangi laluan dan berlaku tumpahan minyak diesel menyebabkan jalan berkenaan terpaksa ditutup namun tiada mangsa yang mengalami kecederaan serius.

“Tujuh orang mangsa hanya cedera ringan terdiri daripada dua lelaki menaiki lori lima tan serta tiga wanita dan dua lelaki menaiki Toyota Vios.

“Kesemua mangsa yang cedera ringan kemudian diserahkan kepada petugas perubatan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan kemalangan itu, anggota bomba telah membersihkan kawasan jalan yang ditumpahi minyak diesel menggunakan habuk kayu.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.22 petang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI