PETALING JAYA – Kerajaan sedang meneliti keperluan mengkaji semula harga siling untuk Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga maksimum kit ujian itu telah ditetapkan RM19.90 di peringkat runcit dan RM16.00 di peringkat borong di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan dan kepentingan pengguna terutama dari aspek kecukupan bekalan di pasaran serta mendapatkan harga pelitup muka dan kit ujan kendiri pada harga yang tidak membebankan.
“Sehubungan itu, penguatkuasaan, pemeriksaan dan pemantauan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP sentiasa dilakukan ke atas item berkaitan di setiap peringkat seperti peringkat pengilang, pemborong dan peniaga bagi memastikan kedua dua item ini sentiasa cukup dan mampu menampung permintaan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Tuan Cha Kee Chin (Rasah) mengenai apakah kementerian akan mengkaji semula dan mengurangkan harga siling untuk pelitup muka dan kit ujian kendiri, di samping menetapkan harga siling untuk oximeter dan penyukat suhu pada Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, dari aspek keberadaan bekalan di pasaran, kerajaan telah mewartakan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) ini sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November 2021 yang lalu dan telah dikuatkuasakan pada 1 Disember 2021 yang lalu.
“Bagi menjamin kestabilan harga dan keberadaan bekalan pelitup muka dalam negara, Kementerian telah mewartakan pelitup muka sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah menetapkan harga maksimum bagi pelitup muka ini di bawah Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.7) 2020 pada 1 November 2020.
“Berhubung dengan cadangan Yang Berhormat supaya kementerian menetapkan harga siling peranti oximeter dan penyukat suhu, saya menghargai dan menyambut baik cadangan tersebut. Di pihak kementerian, penetapan harga ke atas peranti tersebut akan dilaksanakan jika terdapat keperluan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE