PETALING JAYA – Seramai 7,842 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima manfaat secara langsung melalui inisiatif penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan melalui bimbingan Program Reskilling Upskilling Veteran ATM (PRUV ATM).
Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,142 adalah veteran ATM di Johor.
“Bermula pada Mac 2021, Perhebat telah melaksanakan PRUV ATM dalam usaha membantu kumpulan yang sukar mendapat pekerjaan dan memajukan kerjaya kedua melalui bimbingan yang diperlukan.
“Kumpulan sasar ini dibimbing melalui empat inisiatif merangkumi Bimbingan Kerjaya Bermajikan, Latihan & Kursus Jangka Pendek, Bimbingan Teknikal, Pertanian & Penternakan dan Bimbingan Usahawan & Peruncitan.
“Keberkesanan program yang dilaksana ini juga dipantau sepenuhnya oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) bersama Kementerian Kewangan agar segala manfaat dapat dinikmati oleh kumpulan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Sijil Perhebat & Program Reskilling Upskilling Veteran ATM Johor di Pusat Pertanian Ayer Hitam (PPAH), Johor, semalam.
Sementara itu, katanya, usaha ini turut dilaksanakan dengan peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan melalui agensinya Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).
“Sepanjang tahun 2021, seramai 13,462 Veteran ATM di seluruh negara telah disantuni bagi menganalisa status pekerjaan, jenis bantuan yang diperlukan dan masalah yang dihadapi akibat pandemik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Antara 135 bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjaya menamatkan Latihan Peralihan dalam Kursus Keusahawanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Perhebat.